Search This Blog

Friday, December 4, 2015

Jumud Kitab dan Kegilaan Akidah



Dalam sejarah Islam, terdapat banyak perbalahan dalam kalangan para sarjana yang membawa kepada menghukum individu sarjana lain dengan kafir dan sesat. Kita sepatutnya tidak menyambung segala krisis yang berlaku pada zaman yang lalu.


Sekarang di Malaysia apabila muncul kelompok Ahbash yang menggunakan jenama Ahlus Sunnah wal Jamaah beraliran Ashairah, mereka ini mengkafirkan Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan jalur salafi yang beraliran Hanabilah (Hanbali). Pelampau Ahbash ini mendakwa itulah pegangan Ahlus Sunnah aliran Ashairah. Di sebelah pihak salafi, muncul sekelompok golongan dari jalur keras seperti Madkhali yang menyesatkan Ashairah dan semua aliran sufi secara pukal. Maka, dunia Islam yang penuh dengan pepecahan ditambah dengan isu kafir-mengkafir dan sesat menyesat.

Sejarah Ihya

Jika kita hendak menelan bulat-bulat apa yang ulama dahulu hukum antara satu sama lain, maka sudah pasti sukar kita mendapat manfaat dari semua pihak. Umpamanya, pada zaman al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H), Kerajaan Andalus di bawah pimpinan Ali bin Yusuf bin Tashfin (meninggal 537H) yang terkenal sebagai pemerintah yang sangat soleh yang memuliakan ulama fekah telah mengharamkan kitab Ihya ‘Ulum al-Din karangan al-Imam al-Ghazali. Bahkan kitab Ihya dibakar dengan arahan pemerintah secara rasmi di hadapan Masjid Cordova (Qurtubah). Ali bin Yusuf sangat cintakan ulama dan tidak akan mengambil tindakan melainkan dengan arahan ulama. Tokoh ulama ketika itu yang berpengaruh ialah al-Qadi Ibn Hamdin yang menjadi kadi besar Cordova masa itu. (lihat: Muhammad Abd Allah al-Misri, Daulat al-Islam fi al-Andalus, 3/78. Kaherah: Maktab al-Khaniji)

Para ulama Andalus bermazhab Maliki dan beraliran Ashairah dari segi ilmu kalam. Merekalah yang telah menggesa pemerintah yang soleh itu mengharamkan kitab Ihya ‘Ulum al-Din bahkan kitab itu diarahkan agar dibakar di seluruh Andalus dan Maghribi (Morocco). Mereka mendakwa kitab itu sesat dalam pelbagai isu termasuk dikatakan isu roh yang dibahaskan oleh al-Ghazali.

Jika kita lihat tindakan ulama Andalus ketika itu, tiada kaitan sama sekali dengan aliran Hanbali ataupun al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) yang muncul hampir dua ratus tahu kemudian.

Menarik selepas berakhir zaman tersebut, kitab Ihya mendapat tempatnya di Andalus. Apatahlagi anak murid al-Ghazali yang terbilang iaitu al-Qadi Abu Bakr ibn al-‘Arabi (meninggal 543H) di sana.

Ibn Jauzi

Demikian jika kita lihat tokoh yang sering dirujuk oleh aliran salafi iaitu al-Imam Ibn Jauzi (597H). Beliau bukan al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) yang merupakan anak murid al-Imam Ibn Taimiyyah. Beliau lebih awal dari mereka. Beliau dari segi fekah dari aliran Hanabilah (Hanbali). Tulisannya mengkritik golongan sufi sering digunakan dalam aliran salafi. Antara buku beliau yang terkenal Talbis Iblis. Dalam buku tersebut beliau mengkritik golongan sufi habis-habisan. Antara kenyataannya

“Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya’ berdasarkan pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya”. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Namun dalam akidah, Ibn Jauzi tidak sealiran dengan aliran Hanbali yang tidak mentakwilkan ayat-ayat sifat. Ibn Jauzi mengikut jalan takwil yang diambil oleh aliran Ashairah. Beliau menganggap tafsiran seperti yang dipertahankan oleh Ibn Taimiyyah yang datang seratus tahun selepas beliau itu sebagai satu kesalahan. Namun, oleh kerana Ibn Taimiyyah belum wujud, beliau mengkritik tokoh lain di zaman itu. Beliau mengkritik tokoh besar hadis dalam Mazhab Malik di Andalus iaitu al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (meninggal 463H) yang merupakan ilmuwan agung di Andalus dan pengarang kitab yang terbilang iaitu al-Tamhid yang mensyarahkan Kitab Muwatta al-Imam Malik bin Anas.

Kata al-Imam Ibn Jauzi :

“Aku hairan dengan puak-puak yang mendakwa berilmu tapi cenderung kepada tasybih (menyamakan Allah) dengan cara memahami hadis-hadis secara zahir. Jika mereka sekadar membacanya sahaja seperti mana dalam asalnya, maka itu selamat…tapi puak-puak ini pendek ilmu mereka. Mereka kata memahami hadis tidak secara zahir itu merupakan ta’til (memandulkan sifat Allah). Jika mereka itu fahami keluasan bahasa tentu mereka tidak sangka begitu”. Kemudian beliau menyebut: “Aku sungguh hairan dengan seorang lelaki Andalus yang dipanggil Ibn ‘Abd al-Barr yang menulis kitab al-Tamhid. Dia menyebut hadis Allah turun ke langit, lalu dia berkata: “Ini menunjukkan bahwa Allah itu di atas Arasy, jika tidak masakan ada erti bagi perkataan turun”. Kenyataan ini satu kejahilan dalam mengenali Allah Azza wa jalla”. (Soid al-Khatir, 99. Damsyik: Dar al-Qalam).

Jika kita lihat, Ibn ‘Abd al-Barr bukan dari aliran Hanabilah bahkan jauh sekali untuk terpengaruh dengan Ibn Taimiyyah yang lahir dua ratus tahun kemudian. Beliau dari aliran ahli hadis yang bermazhab Malik bin Anas. Sementara Ibn Jauzi dari aliran Hanbali. Namun, perbezaan seperti itu berlaku.

Jadi, soal perbezaan bukan sahaja soal aliran yang seseorang dikaitkan dengannya, tetapi cara dan keputusan fikiran yang diambil. Di Malaysia, ramai yangmendakwa dari aliran Mazhab al-Syafi’i padahal banyak keputusan yang diambil itu tidak mewakili apa yang termaktub dalam kitab al-Imam al-Syafi’i ataupun tokoh-tokoh utama mazhab al-Syafi’i.

Tidak Selamat

Jika kita ambil kira hukuman ulama antara satu sama lain dalam perkara ijtihad, pasti tiada yang selamat.

Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayat dituduh menganut ajaran Muktaziah dan sesat, bahkan dikafirkan. Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur’ah.

Tuduhan ini datang dari gurunya sendiri Muhammad bin Yahya al-Zuhli. Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan. Malangnya, tokoh ilmuan yang hasad kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi”.

Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara. Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “aku tidak peduli selagi agamaku selamat”. Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah di kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah. Akhirnya bersetuju menerima kedatangan beliau, tapi ketika beliau menaiki kenderaannya itu menuju ke sana, beliau meninggal sebelum sempat ke Samarkand.

Demikian kisah sedih akibat hasad dengki yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr). Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang. Hari ini apabila orang membaca hadis, nama beliau disebut dan kekukuhan riwayat beliau dalam ‘Sahih al-Bukhari’ diakui oleh sekelian sarjana. Akidah al-Bukhari diakui sebagai akidah yang sahih dan benar, ilmunya diiktiraf dan jasanya dikenang. Namun siapa yang membaca sejarah perit perjuangan ilmu, tidaklah sangka demikian nasib yang menimpanya.

Kita mungkin boleh mengkritik, tetapi janganlah ‘copy and paste’ tulisan silam untuk menghukum pihak lain yang kita mungkin tidak memahami latar keadaan yang dilaluinya. Masalah ijtihad, sekalipun dalam akidah boleh terjadi dan mungkin berlaku kesilapan. Isu ayat sifat umpamanya ialah isu ijtihad yang terdedah kepada persepsi yang pelbagai. Jika orang menyesatkan dan mengkafirkan Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan mereka yang sealiran dengan itu kerana tidak takwil maka kena juga menyesatkan al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr dan ramai lagi sebelum Ibn Taimiyyah yang mengambil pendirian yang sama. Maka, akhirnya kita bukan mengambil manfaat dari para ulama, sebaliknya asyik menyesatkan dan mengkafirkan si fulan dan si fulan seperti kelompok Ahbash tadi yang memakai gelaran Ahlus Sunnah wal Jamaah di Malaysia. Seakan mereka sahaja Ahlus Sunnah dan orang lain semuanya dalam neraka. Demikian kelompok segelintir kelompok yang sibuk menyesatkan semua yang tidak salafi dengan panggilan ikhwani, sufi, qaradawi dan lain-lain.

Padahal sifat kemaafan Allah terlalu luas. Ia merentasi apa yang difikirkan oleh akal insan yang cetek. Lebih dari segala kesilapan ijtihad, dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari menceritakan Allah mengampuni kekufuran disebabkan kejahilan: Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w, sabda baginda:

“Dahulu ada seorang lelaki yang kecewa terhadap dirinya. Ketika dia hampir mati, dia berkata kepada anak-anaknya: “Jika aku mati kamu semua bakarlah aku, hancur debukan aku kemudian jadikan aku ditiup angin. Demi Allah! Jika tuhanku dapat menangkapku nescaya DIA akan mengazabku dengan azab yang DIA tidak pernah azab sesiapa pun”. Apabila dia mati, hasratnya dilakukan kepadanya. Maka Allah memerintahkan bumi: “Himpunkan dia”. Maka bumi lakukannya lalu dia pun berdiri (dibangkitkan). Allah berkata: “Apakah yang menyebabkan engkau lakukan tindakanmu itu?”. Dia menjawab: “Wahai Tuhanku, kerana takutkan Engkau”. Maka Allah pun mengampunkannya.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam karyanya al-Istiqamah mengulas hadis ini dengan menyebut:

“Lelaki ini percaya bahawa Allah tidak mempu menghimpunkannya jika dia berbuat demikian ataupun dia syak bahawa Allah tidak membangkitkannya. Kedua-dua iktikad ini kufur yang dihukum kafir sesiapa yang telah tertegak hujah untuknya (sampai kepadanya penerangan yang mencukupi). Namun lelaki ini jahil mengenai hal itu dan tidak sampai kepadanya ilmu yang mengeluarkannya dari kejahilannya. Pun begitu dia ada iman kepada Allah, suruhan dan laranganNYA, janji nikmat dan azabNYA maka dia takutkan balasannya maka dia pun diampunkan disebabkan ketakutannya itu”.

Ibn Taimiyyah menambah lebih dalam lagi:

“Maka sesiapa dalam kalangan ahli iman kepada Allah, rasulNYA, Hari Akhirat serta beramal soleh yang tersilap dalam sebahagian masalah akidah sudah pasti tidak lebih buruk dari lelaki tadi. Allah akan mengampuni kesilapannya (ahli iman tersebut), DIA akan mengazabkannya jika ada kecuaian dalam menuruti kebenaran dengan kadar pegangan agamanya. Adapun mengkafirkan individu yang diketahui imannya hanya semata kerana kesilapan tersebut maka itu satu kesalahan yang besar”. (Ibn Taimiyyah, al-Istiqamah, 1l168, Madinah Munawwarah: Univ al-Imam Sa’ud)


No comments:

Post a Comment