Search This Blog
Saturday, August 8, 2015
Akhlak dalam Islam
Akhlak adalah tingkah laku baik, buruk, salah benar, dan penilaian ini dipandang dari sudut hukum yang ada di dalam ajaran Islam. Akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian.
Apabila perbuatan itu baik dan terpuji menurut syara', maka perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila perbuatan itu yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk. Akhlak yang baik dapat menghapuskan dosa manakala akhlak yang buruk boleh merosakkan pahala. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiada suatu amalan seorang hamba yang paling berat timbangannya pada hari kiamat melebihi akhlak yang baik.” (HR Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Akhlak yang baik dapat menghindarkan seseorang itu daripada neraka sebaliknya akhlak yang buruk menyebabkan seseorang itu jauh dari syurga. Sebuah hadith menerangkan bahawa
“Si fulan pada siang harinya berpuasa dan pada malamnya bersembahyang sedangkan akhlaknya buruk, menganggu jiran tetangganya dengan perkataannya. Baginda bersabda: "Tidaklah masuk syurga orang yang jirannya tidak aman kerana gangguannya” (HR Muslim / Imam Nawawi, Riyadhus Shalihin, Jilid 1, hlm 176)
Islam menyeru agar manusia menghiasi jiwa dengan akhlak yang baik dan menjauhkan diri dari akhlak yang buruk. Akhlak yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan manusia yang berhati bersih, ikhlas dalam hidup, amanah dalam tugas, cinta kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Sesungguhya Allah tidak mengubah keadaan hambanya hingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri"(Surah Ar Ra'd: QS 13:11)
Diantara cara-cara untuk memperbaiki akhlak:
- Menguatkan nilai-nilai aqidah dan keimanan dalam jiwa.
- Mengawal pancaindera daripada melihat atau mendengar perkara-perkara yang membangkitkan kemaksiatan. Dan juga menguatkan jihad terhadap syahwat dan hawa nafsu yang menjadi punca sifat buruk dan keji.
- Mempelajari huraian atau penjelasan al-Quran dan Hadith serta penafsirannya oleh para ulama mengenai akhlak terpuji untuk membersihkan jiwa.
- Melatih diri membiasakan perbuatan-perbuatan baik seperti ibadah berupa solat, puasa dan lain-lain dan menjauhkan diri daripada segala perbuatan buruk dan keji.
- Berkawan dan berjiran dengan orang-orang yang berakhlak mulia kerana kawan atau jiran memberi kesan atau pengaruh dalam pembinaan akhlak seseorang.
- Mempelajari kehidupan para nabi, sahabat, ulama atau auliya dan menjadikan kehidupan mereka sebagai contoh teladan dalam kehidupan kita.
- Dalam segala tindak tanduk kita hendaklah sentiasa mengikuti dan menggunakan akal fikiran dan janganlah mengikut perut dan hawa nafsu kita.
- Sentiasa berdoa memohon bantuan Allah SWT agar dilengkapkan diri dengan akhlak yang mulia dan mendapatkan perlindungan daripada perkara-perkara yang tidak diingini.
Wallahu'alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment