Search This Blog

Friday, August 21, 2015

Boleh tak agama diwarisi?



Pernah tak anda berfikir, bagaimana kita boleh beragama Islam? Jika jawapan anda ialah kerana ibubapa anda beragama Islam, anda pun Islam, maka itu hanyalah ikutan dan bukannya warisan.

Islam tidak boleh diwarisi kepada anak-anak kita melainkan dengan ajaran dan didikan baik dan sempurna kepada mereka. Orang2 yang lahir dalam keluarga Islam tidak dijamin imannya dan orang yang dilahir dalam keluarga yang belum Islam tidak bermaksud mereka adalah ahli neraka.

Malah, orang yang lahir dalam keluarga Nabi sekalipun tidak dijamin syurga, contohnya adalah anak Nabi Nuh as. Jika benar agama boleh diwarisi, kenapa pula orang yang pertama di dunia ini, iaitu Nabi Adam as yang beragama Islam tetapi tidak semua manusia mewarisi agama Islam?

Boleh tak iman diwarisi? Jika benar iman boleh diwarisi, nescaya semua manusia hari ini adalah orang2 yang beriman kepada Allah SWT kerana Nabi Adam as adalah seorang yang beriman kepada Allah SWT tetapi hakikatnya tidak begitu, kenapa? Firman Allah SWT:

"Jika (Allah) menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi ini..."(Surah Yunus ayat 99)

(tetapi...)

Allah SWT berfirman:
"(Allah) yang telah mentakdirkan adanya yang mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Berkuasa, lagi Maha Pengampun." (Surah al Mulk ayat 2)

Jika Allah SWT hendak, nescaya seluruh umat manusia dijadikan sebagai muslim tetapi Allah SWT tidak berbuat begitu kerana Dia nak menguji keimanan kita.

Allah SWT jadikan kita tidak kesemuanya beriman dan ada pula yang kaya, ada yang miskin, ada yang kuat, ada yang lemah kerana Dia nak menguji kita. Setiap orang ada ujiannya tersendiri, maka hadapilah ujian anda dengan beriman hanya kepada Allah SWT.

Oleh itu, jika anda dilahirkan dalam keluarga Islam, janganlah sesekali sia-siakan iman anda itu. Jangan kerana sedikit habuan dunia dan keinginan hawa nafsu, anda sanggup menjual keimanan anda. Allah SWT berfirman:

“Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang pertama kafir kepadanya dan janganlah pula kamu menukarkan ayat-ayat-Ku untuk membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya dan kepada Aku-lah kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah ayat 41)

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment