Search This Blog
Thursday, August 13, 2015
Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim
Hanya dengan menggunakan akal fikiran sahajalah kita akan memahami ilmu Islam. Dan hanya dengan memahami ilmu Islam, kita akan mengenal Allah dan Rasul-Nya serta apa yang halal dan apa yang haram, apa yang bermanfaat dan apa yang mudharat bagi diri kita. Allah SWT berfirman:
"Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya." (Surah al-Baqarah: QS 2:269)
Hanya dengan ilmu yang benar, seseorang itu dapat menepis segala bentuk maksiat dan dapat menjaga keimanannya. Kerana itu Allah SWT mengatakan bahawa orang-orang yang bermaksiat itu adalah orang-orang yang bodoh. Kerana kebodohan sahaja yang melahirkan pengingkaran terhadap Allah SWT. Firman Allah SWT:
"Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya Dia melapangkan dadanya dalam Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman." (Surah al-An’am: QS 6:125)
Hanya dengan ilmu sahaja kita dapat menyelamatkan dirinya dari kejahilan dan kemaksiatan. Untuk menyelamatkan diri kita dari terjebak dalam dosa dan kemaksiatan, maka kita dituntut untuk berilmu. Kerana itu Nabi SAW menyatakan bahawa menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim.
“Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim.” (HR Ibnu Majah no. 224, Shahiih al-Jaami’ish Shaghiir no. 3913)
Dan hanya orang yang benar2 memahami ilmu Islam yang akan menunaikan kewajipan Dakwah dengan menyeru dan menyampaikan risalah2 Islam kepada semua manusia.
Dari Abu Musa r.a katanya Nabi SAW bersabda :
"Perumpaan petunjuk dan ilmu pengetahuan, yang Allah SWT mengutus aku untuk menyampaikannya adalah seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur, menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak meresap air sehingga tergenang.
Maka Allah SWT memberi manfaat dengan dia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum dan untuk bercucuk tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain iaitu di atas tanah yang tidak meresap air dan tidak pula menumbuhkan rumput.
Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajari dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya." (HR Bukhari - Hadith No : 63)
Wallahu'alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment