Search This Blog

Friday, February 6, 2015

Maqasid Syariah - Tarjih



Dalam pengajian Syariah, masalah pertentangan antara nas-nas dan dalil biasanya disebut sebagai 'Tarjih Maqasidi'. Sebagaimana maklum, tarjih bermaksud menentukan kecenderungan atau pengutamaan. Sementara maqasid pula bermaksud objektif atau tujuan.

Dalam sejarah perkembangan Usul Fiqh, Tarjih Maqasidi ini telah mengalami pelbagai peringkat perkembangan. Pada mulanya ia bersifat sebagai tarjih secara umum yang merupakan satu kaedah dalam menyelesaikan pertentangan antara hadis.

Apabila pengajian usul fiqh berkembang pesat dengan lahirnya para ulama yang memberi tumpuan kepada penulisan kitab-kitab dalam ilmu usul, juga mazhab-mazhab fiqh yang menggunakan kaedah masing-masing dalam memahami hukum, masalah tarjih ni menjadi salah satu tumpuan masing-masing dan dibincangkan dengan cara yang lebih meluas.

(Ulama yang paling awal menulis kitab seperti ini ialah al-Imam al-Shafii dalam Kitab al Risalah)

Pada zaman Rasulullah SAW soal pertentangan antara dua nas tidak pernah timbul atau diperkatakan kerana wahyu masih terus turun. Apa yang ada hanyalah pemansuhan(al nasakh) yang berlaku bagi memenuhi keperluan prinsip beransur-ansur(al tadarruj) dalam menentukan hukum.

Walau bagaimanapun, dalam pemansuhan ini sebenarnya ada sifat pertentangan(ta'arud) antara nas. Ini kerana dalam sesetengah kes terdapat pertentangan antara nas yang memansuhkan(al nasikh) dan nas yang kena mansuh(mansukh).

Antara contoh, pemansuhan yang berlaku terhadap hukum meminum arak. Begitupun hal berkenaan tidak menimbulkan apa-apa masalah. Ini adalah disebabkan Rasulullah SAW masih hidup dan segala persoalan dijawab oleh Baginda SAW.

Persoalan dan permasalahan pertentangan antara nas ini benar-benar lahir
pada zaman sahabat terutama yang berkait dengan hadis. Dalam mengatasi masalah ini, para ulama generasi berkenaan menggunakan kaedah yang mereka rasakan sesuai. Antara kaedah yang digunakan ialah pengutamaan(al tarjih).

Antara contoh yang terus disebut sampai ke hari ini ialah bagaimana mereka menyelesaikan pertentangan nas dalam masalah ‘iddah perempuan mengandung yang kematian suami. Ayat pertama yang berkaitan dengan idah bermaksud wanita yang kematian suami perlu beridah empat bulan sepuluh hari(QS 2:234).

Sementara ayat yang kedua pula bermaksud wanita yang diceraikan oleh suaminya sewaktu mengandung perlu beridah sampai melahirkan anak dalam kandungannya(QS 65:4). Bagi menyelesaikan masalah pertentangan berkenaan, satu golongan iaitu Ibn Mas‘ud, Ibn ‘Abbas dan ‘Ali r.a. menggunakan kaedah kompromi (al-tawfiq). Hasilnya, iddah bagi wanita berkenaan akan berlanjutan mengikut mana satu tempoh yang paling panjang(ad'ab al-ajalayn).

Golongan kedua pula iaitu Abu Sa‘id al-Khudri menggunakan kaedah nasakh, iaitu dengan pandangan bahawa ayat 4 surah al-Talaq menasakhkan ayat 234 Surah al Baqarah kerana ia turun lebih terkemudian. Berasaskan pendekatan ini idah bagi wanita berkenaan akan habis bila sahaja dia melahirkan anak dalam kandungannya itu.

Melakukan tarjih memerlukan kepada pandangan yang menyeluruh atau komprehensif terhadap segala nas yang mungkin mempunyai pengertian yang berbeza daripada yang akan digunakan olehnya sebagai asas hukum berkenaan.

Maksudnya, seseorang mujtahid atau penyelidik tidak boleh semata-mata berpegang kepada mana-mana nas tanpa mengambil kira nas-nas lain yang mungkin mempunyai arahan atau kehendak yang berbeza.

Pandangan yang komprehensif inilah yang memungkinkan mereka melakukan kompromi atau tarjih atau nasakh atau menggugur(isqat) antara nas-nas berkenaan mengikut metod yang digunakan.

Apa yang jelas, Tarjih tidak akan berlaku kecuali berlaku pertentangan antara dua nas berkenaan. Maksudnya, pertentangan dihapuskan dengan apa cara sekalipun termasuk melalui cara tarjih bila sahaja ia berlaku.

Wahyu yang dapat dilihat dan difahami melalui nas-nas syarak diturunkan bagi tujuan untuk dipatuhi dan diamalkan. Apa-apa pertentangan antara nas-nas berkenaan boleh mengganggu objektif berkenaan.

Oleh kerana itu, Tarjih berperanan menentukan bahawa objektif berkenaan terlaksana. Berasaskan peranannya ini, ia perlu diguna pakai iaitu setelah usaha untuk melakukan kompromi(al tawfiq) antara nas-nas yang bertentangan itu tidak berhasil.

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment