Pages

Pages

Monday, December 3, 2018

Islam melarang Prejudis dan Diskriminasi



Prejudis dan diskriminasi adalah elemen-elemen yang menjadi penghalang utama kepada proses perpaduan dan integrasi. Prejudis bermaksud pra-sangka negatif dan buruk yang tidak adil terhadap sesuatu jantina, budaya, kepercayaan ataupun kaum (individu atau kumpulan).

Diskriminasi pula bermaksud tindakan atau perbuatan (penindasan atau kezaliman) yang disebabkan oleh pra-sangka negatif dan buruk yang tidak adil terhadap sesuatu jantina, budaya, kepercayaan ataupun kaum (individu atau kumpulan).

Contohnya, mempercayai sendiri adalah yang paling benar dan orang lain yang berbeza pendapat dengan kita adalah salah dan sesat adalah sikap taksub dan prejudis. Melabel mereka yang berbeza pendapat dengan kita, dengan gelaran jelek seperti wahabi atau penganas adalah perbuatan diskriminasi kepercayaan.

Mempercayai semua orang Melayu malas, orang Cina tamak dan orang India mabuk adalah sikap prejudis. Ia adalah pra-sangka negatif yang bersifat pukalisme dan racist. Mencerca dan menindas kaum lain sehingga elak diri dari berinteraksi dengan mereka adalah tindakan diskriminasi perkauman.

Masalah prejudis dan diskriminasi etnik dan sifat perkauman semakin meningkat dalam masyarakat kita. Kita harus sedar bahawa perpaduan sangat penting bagi membentuk sebuah negara yang maju dan stabil. Salah satu daripada tuntutan Islam yang paling utama adalah menghapuskan sikap prejudis dan diskriminasi dalam diri kita.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Malah, Rasulullah SAW pernah mencela Abu Dzar Al-Ghifari kerana menghina Bilal ibn Rabah sebab kulitnya yang gelap. Tujuan Allah swt mencipta manusia dalam keadaan berpuak dan berbangsa-bangsa adalah agar kita saling kenal mengenali antara satu sama lain, dan bukannya untuk kita berkelahi dan tunjuk siapa hebat. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya." (Surah al-Hujurat: 13).

Kata Sayyid Qutb dalam menafsirkan ayat ini:
“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian.

Sebaliknya, ia adalah untuk bantu-membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment