Pages

Pages

Wednesday, January 14, 2015

Masalih Mursalah



Kehadiran Syara' Islam adalah untuk menghasilkan Maslahah kepada manusia keseluruhannya. Perkara ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran."(QS 2:185)

Masalih Mursalah pula adalah pembentukkan sesuatu hukum dan syariat yang baik serta berfaedah dan bermanfaat untuk kepentingan manusia dan masyarakat yang tidak ada sebarang nas atau dalil dari al Quran dan Sunnah untuk dijadikan bukti dan dasar samada ia boleh dilaksanakan, harus atau tidak boleh dilaksanakan menurut pandangan ulama fiqh.

Maslahah mursalah merupakan satu istilah khusus yang diertikan sebagai satu method pengeluaran hukum yang tiada nas dan dalil khusus mengenainya dan tidak pula diketahui penerimaan dan penolakan syarak terhadapnya. Dari segi bahasa Maslaha bererti kebaikan umum yang berfaedah yang meraihkan manfaat dan menolak mafsadah atau mudarat.

Mursalah pula bererti mutlak(individual, lone), iaitu bebas, yang tidak diikat dengan nas dan dalil dari al Quran dan Sunnah Nabi SAW. Penggunaan maslahah mursalah adalah ijtihad yang dipraktikkan untuk penetapkan hukum yang tak ada nas dan ijma'. Jumhur ulama menganggap maslahah mursalah sebagai hujah syariat kerana:

1) Semakin bertambah hajat manusia terhadap kemaslahatannya, jika hukum syara' tidak dapat menampung kemaslahatan manusia yang baru ini, ia akan menyebabkan pembekuan dalam syariat Islam.

2) Para shahabat dan tabi’in telah menetapkan hukum berdasarkan kemaslahatan,contohnya seperti Abu Bakar dan Uthman Bin Affan yang menyuruh mengumpulkan musyaf al-Quran demi kemaslahatan umum.

3) Tindakan Umar bin Khattab tidak menjalankan hukum hudud memotong tangan pencuri yang mencuri dalam keadaan darurat.

4) Allah SWT mengutus rasulnya untuk kemaslahatan manusia, maka kemaslahatan ini jelas dikehendaki syara’, sebagaimana firman Allah SWT: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (QS 21:107)

5) Hadits yang dikemukakan sebagai landasan syar’i atas kehujahan maslahah mursalah adalah sabda Nabi SAW:
"Tidak boleh berbuat mudarat dan saling memudaratkan."
(H.R. lbnu Majah dan Daruquthni dan lainnya. Hadits ini status hasan)

Para Ulama Fuquha(Usul Fiqh) bersepakat bahwa Masalih Mursalah tidak boleh dijadikan hujah atau landasan dalam perkara2 dalam bidang Ibadah atau Ubudiah. Masalih Mursalah hanya dipraktikkan dalam bidang Muamalat iaitu usuran interaksi sesama manusia dan bukannya pada bidang hal2 Akidah dan Ibadah.

Ulama usul fiqh telah membahagikan maslahah kepada tiga bahagian iaitu:

1) Maslahah Dharuriyyah

Maslahah dharuriyyah adalah tingkatan maslahah yang paling penting dan menjadi asas kepada penjagaan hukum Islam. Tanpa penjagaan terhadap maslahah ini, manusia akan menghadapi kepincangan dalam kehidupan mereka. Maslahah Dharuriyyah ini mengandungi penjagaan dalan lima perkara, iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, akal dan juga harta.

Penjagaan terhadap kelima-lima perkara ini adalah satu perkara yang disepakati oleh seluruh umat Islam. Ini kerana kesemua nas syara' menunjukkan demikian. Antara contoh dharuriyyat dalam hal menjaga agama ialah pemeliharaan akidah umat Islam seperti solat, puasa, haji dan sebagainya.

Dalam hal menjaga nyawa pula disyariatkan tanggungjawab menjaga diri, larangan menjatuhkan diri ke arah kebinasaan dan mengenakan hukuman
qisas terhadap pembunuh. Dalam hal menjaga keturunan dan maruah pula disyariatkan perkahwinan dan pengharaman zina.

Dalam hal menjaga akal pula, disyariatkan belajar dan pengharaman setiap yang memabukkan. Dalam hal menjaga harta disyariatkan jual beli dan sebagainya dan pengharaman riba' dan pengharaman mencuri serta hukuman terhadapnya.

2) Maslahah Hajiyyat.

Hajiyyat pula adalah tingkatan kedua tahap keperluan manusia yang mana apabila ketiadaannya akan menyebabkan timbulnya kesusahan dan kesempitan.

Namun kesusahan tersebut tidaklah mencapai tahap membahayakan nyawa ataupun mencapai tahap mengganggu langsung urusan kehidupan. Contohnya ialah dalam ibadat ialah rukhsah-rukhsah yang diberikan untuk memudahkan kita semua, seperti keharusan jamak dan qasar solat dan sebagainya.

Contoh dalam bukan ibadat pula ialah seperti diharuskan jual-beli secara berhutang, tempahan bayar dahulu dan seumpamanya. Juga diharuskan perceraian fasak untuk wanita melepaskan daripada ikatan perkahwinan yang musnah.

3) Maslahah Tahsiniyyah.

Tahsiniyyat pula ialah satu perkara yang menjadikan kehidupan manusia berada dalam keadaan mewah atau adab yang cukup tinggi dan akhlak yang baik, iaitu dengan mengambil perkara-perkara yang baik-baik daripada kehidupan dan meninggalkan benda-benda yang 'low standard' dan kotor yang tidak diterima oleh akal yang baik.

Contohnya dalam ibadat ialah bersuci, minyak wangi, menutup aurat dan sebagainya. Ia juga terdapat dalam semua keadaan, samalah seperti dharuriyyat dan juga hajiyyat.

Berdasarkan keterangan2 ini, jelaslah wujudnya tingkatan dalam hukum-hukum taklif dalam Syariah Islam, dan ia bukanlah dalam satu peringkat yang sama, samada suruhan ataupun larangan.

Maslahat Dharuriyyat, Hajiyyat dan Tahsiniyyat boleh didefinisikan sebagai Maslahah yang diperlukan oleh manusia untuk menambahkan kemudahan dan kesenangan dalam hidup mereka, sebagaimaqna firman Allah SWT:

“Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran." (QS 2:185)

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment