"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka."(al Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab al Jihad)
Secara literalnya, perkataan al-tasyabbuh berasal dari bahasa Arab, akar katanya 'sya-ba-ha'. Ia merujuk kepada penyerupaan kepada sesuatu, persamaan warna dan sifat. Disebut juga syibh, syabah, dan syabih.3 Menurut Ibn Manzur, suatu objek itu menyerupai atau menyamai dengan sesuatu yang lain.
Dari segi istilah, menurut Imam al-Ghazali, al-tasyabbuh adalah ungkapan yang menunjukkan usaha manusia untuk menyerupakan dirinya dengan sesuatu yang diinginkan dirinya serupa dengan sesuatu tersebut sama ada dalam hal tingkah laku, pakaian, atau sifat-sifatnya. Jadi al-tasyabbuh adalah ungkapan tentang tingkah yang diinginkan dan dilakukannya.
Al-Luwayhiq menjelaskan al-tasyabbuh sebagai seseorang yang membebani diri untuk menyerupai selainnya berkenaan dengan segala sifat atau sebagainya. Perkataan “membebani diri” menunjukkan bahawa maksud berkeinginan dan sengaja. Dengan demikian tidak termasuklah segala sesuatu yang tidak sengaja, seperti serupanya seorang lelaki dengan wanita dalam tingkah-laku dan suara kerana tabiat yang tercipta tanpa adanya niat dan keinginan.
Begitu juga apabila seseorang Muslim menyerupai bukan Islam dalam segala bentuk dan sifatnya, sama ada dari sudut kepercayaan, amalan, kebudayaan atau tingkah laku. Ini kerana menyerupai mereka bererti menunjukkan rasa cinta dan cenderung kepada mereka.
Perkara ini juga turut ditegaskan oleh Barqa‘an dalam beliau memberi takrifan terhadap al-tasyabbuh. Beliau menyatakan bahawa takrifan yang lebih tepat mengenai ‘al-tasyabbuh' adalah:
"Penyerupaan orang Muslim terhadap orang kafir pada sesuatu perkara yang tidak termasuk dalam kategori maslahah yang muktabar."
Keunikan yang terdapat di dalam takrif ini adalah pendekatan untuk mengeluarkan perkara-perkara yang merupakan ‘maslahah al-mu‘tabarah’ iaitu kemaslahatan yang diiktiraf oleh nas-nas Syarak daripada kategori al-tasyabbuh yang dilarang atau diharamkan tadi. Ini bertepatan dengan konsep al-tasyabbuh pada perkara yang mendatangkan manfaat.
Oleh yang demikian, setiap perkara sama ada dari segi ilmu, teknologi, kemahiran atau penemuan-penemuan saintifik baharu yang bermanfaat dan merupakan maslahah yang diiktiraf oleh Syarak mengenai manfaatnya, maka ia terkeluar daripada kategori al-tasyabbuh yang dilarang walaupun ia berasal daripada orang bukan Islam.
Prinsip ini diambil daripada peristiwa Rasulullah SAW mengaplikasikan teknologi mengorek parit ketika perang Khandak yang pada hakikatnya berasal daripada amalan orang bukan Islam di Parsi.
Source: https://www.academia.edu
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment